Wednesday, January 10, 2018

Peter Murphy dan Bookxcess

Lama benar aku tak tulis apa-apa di sini. Sebelum blog ini menjadi kubur, lebih baik aku hias apa-apa yang patut supaya menjadi taman. Kongsi ringkas-ringkas sahaja.

Peter Murphy 


Beberapa tahun lepas aku pernah bercerita tentang Peter Murphy. Beliau terkenal dengan gelaran Godfather of Goth kerana mencetuskan fenomena muzik gothic rock lewat 70-an bersama Bauhaus. Dikatakan memeluk Islam setelah tertarik dengan ajaran sufi, Holy Smoke (1992) merupakan album solo keempat dan yang pertama diterbitkan selepas beliau berhijrah ke Istanbul, Turki. Aku baru menerima album ini empat hari sebelum menjelangnya 2018. Album ini menyusuli Deep (1989), sebuah album yang melonjakkan namanya. Namun, Holy Smoke dianggap sesetengah peminat sebagai album yang menjatuhkan karier beliau kerana jualannya tidak memberangsangkan dan lagu-lagunya tidak cukup melekat. 

Jadi kenapa memilih album ini? Pertama, pada pandangan aku, Holy Smoke ialah album terakhir yang dihasilkan pada waktu kemuncak beliau sebagai seorang penyanyi. Selepas album ini, vokal beliau kedengaran dimamah usia dan tidak lagi menonjol. Kedua, kualiti rakamannya sangat baik. Pasanglah sekuat mana, anda tetap terhibur, bahkan lebih menghargai betapa jelas dan padu bunyinya. Tidak seperti album-album hari ini yang menjadi mangsa loudness war. Ketiga, lagu-lagunya tidaklah teruk. Jualannya tidak memberangsangkan kerana pada waktu itu kiblat pendengar muzik mula beralih kepada Seattle (baca: grunge). Sekalipun ada lagu yang hambar, lagu-lagunya secara keseluruhan masih mantap dan mengekalkan identiti Peter Murphy sebagai ikon gothic yang berjiwa halus lagi romantis. Keempat, gambar pada kulit album dan gambar-gambar yang menghiasi sisipan (inlay) adalah daripada Antoin Corbijn.  

Peter Murphy - The Sweetest Drop

Peter Murphy - Hit Song

Bookxcess

Penulis blog Lubang Kuning merungut kepada aku tentang Big Bad Wolf yang tidak lagi singgah ke Pulau Pinang untuk menjual buku-buku murah. Memandangkan sempena 12 hari bulan 12 yang lalu Bookxcess Online menawarkan tambahan diskaun sebanyak 12% bagi pembelian melebihi RM100, maka aku mengajaknya turut serta memesan buku-buku bersama aku. Terima kasih kepada Rafi yang pernah beritahu buku-buku Big Bad Wolf diambil daripada Bookxcess. Jadi stoknya lebih kurang sama sahaja. 


Kami masing-masing memesan tiga buah buku. Tajuk buku-buku yang aku pesan ialah: 
  • The Case for God oleh Karen Armstrong 
  • The Story of Philosophy oleh James Garvey dan Jeremy Stangroom 
  • The Magic of Reality oleh Richard Dawkins 

Karya Karen Armstrong dipilih kerana aku sememangnya berhasrat untuk membaca dan memiliki sebuah buku daripada beliau. Kalau siapa masih ingat, blog Krenmaut pernah berkongsi tentang buku A History of God daripada penulis yang sama. Perkongsiannya agak thought provoking dan menarik minat aku. Namun, buku tersebut tiada dalam katalog dan aku mengambil keputusan memilih The Case for God, sebuah buku yang masih bercerita tentang Tuhan. Kandungannya terbahagi kepada dua bahagian iaitu The Unknown God dan The Modern God. Penulisannya pula dikatakan bertitik tolak daripada kritikan golongan ateis semisal Richard Dawkins, Christopher Hitchens dan Sam Harris terhadap agama. Bagi Armstrong, kritikan mereka adalah lemah dan dangkal kerana memfokuskan Tuhan yang dikembangkan oleh golongan fundamentalis.

Kemudian, aku bercadang untuk membaca sebuah buku tentang falsafah yang ditulis berdasarkan kerangka fikir atau worldview orang Barat sendiri. Belek senarai buku-buku yang ada, The Story of Philosophy memang kena dengan kehendak aku dan ulasan-ulasan yang aku baca mengenai buku tersebut nampak positif. Kedua-dua penulis masing-masing mempunyai autoriti dalam bidang falsafah dan sosiologi. Disebabkan mereka juga merupakan editor The Philosophers' Magazine, penyampaiannya mudah dan santai. Selain itu, apa yang menarik minat aku walaupun buku ini tertumpu kepada sejarah pemikiran Barat, terdapat peruntukan bagi pemikiran daripada tamadun Islam dengan membicarakan tokoh-tokoh seperti Ibnu Sina, al-Ghazali dan Ibnu Rusyd.

Richard Dawkins - The Magic of Reality (Talks at Google)

Akhir sekali, sebuah buku yang ditulis oleh ahli biologi evolusi dan pemuka ateis abad ini iaitu Richard Dawkins. Beliau sangat terkenal dengan persepsi negatif dan kenyataan yang kasar terhadap agama. Antara buku beliau yang sering disebut-sebut ialah The Selfish Gene dan The God Delusion.  Buku The Magic of Reality bagaimanapun disasarkan kepada golongan muda. Buku ini lebih kurang pengenalan terhadap sains untuk budak-budak sekolah dan sebagai panduan kepada ibu bapa ateis mendidik anak-anak mereka. Istilah magic pada tajuknya digunakan dengan maksud poetic atau kiasan sahaja. Menerusi buku ini, Dawkins mahu membawa pembacanya berfikir dan menghargai realiti alam berpandukan neraca sains berbanding merasa takjub dengan cerita-cerita aneh atau karut yang sering disampaikan oleh golongan beragama. 

P/S: Album Peter Murphy dibeli daripada Boon KH Tan dengan harga yang murah dan berpatutan melalui GROUP JUALAN CD/LP/EP/KASET ORIGINAL. Buku Dawkins jenis paperback layak dikatakan versi teks sahaja.
  

Wednesday, February 15, 2017

Al-Ghazali dan Buku Persaudaraan Suci

Ikhwan al-Safa

Kitab Ikhwan al-Safa (Buku Persaudaraan Suci) atau lebih dikenali sebagai Rasail Ikhwan al-Safa terdiri daripada risalah-risalah meliputi pelbagai bidang berkenaan alam tabii, teologi, matematik, logik dll. Memandangkan Ikhwan al-Safa ialah sebuah organisasi sulit, penulisnya tidak dapat diputuskan dan masih menjadi misteri. Namun, penggunaan buku ini biasa dikaitkan dengan Syiah Ismaili atau Batiniyyah.

Kenyataan al-Ghazali

Imam al-Ghazali menyebut sepintas lalu Buku Persaudaraan Suci dalam autobiografi beliau semasa berbicara tentang golongan Batiniyyah. Sebahagian mereka mendakwa mempunyai pengetahuan istimewa sedangkan pengetahuan itu bersumberkan falsafah Pythagoras yang menjadi rujukan dalam buku tersebut. Menurut beliau, falsafah Pythagoras adalah selemah-lemah falsafah yang telah dibantah oleh Aristotle dan buku tersebut pada hakikatnya merupakan bahan buangan falsafah (the dregs of philosophy).
  

Friday, February 10, 2017

Abang Mus (Megadeth) dan Budgie

Lama dulu aku pernah menulis tentang peranan Cat Stevens sebagai pengaruh awal Dave Mustaine dalam muzik. Kali ini aku ingin kongsikan satu lagi pengaruh awal Mustaine atau panggilan mesranya, Abang Mus iaitu sebuah kumpulan bernama Budgie

Rock Icons - Dave Mustaine

Berasal dari Wales, Budgie ditubuhkan pada tahun 1967 dengan album pertama terbit pada tahun 1971. Pengalaman mendengar Budgie memberi kesan tersendiri kepada Abang Mus untuk benar-benar bermain muzik. Menurut beliau dalam dokumentari Rock Icons,
I think probably, the musical moment that happened, that made me realize I wanna rock was I discovered a band called Budgie.
Muzik mereka agak jarang dikenali ketika itu. Namun, Abang Mus memuji kehebatan Budgie kerana bukan mudah bagi sebuah kumpulan yang hanya dianggotai oleh tiga orang tetapi pada masa yang sama berjaya memainkan lagu-lagu yang heavy.

Budgie original line-up

Minat Abang Mus terhadap Budgie turut menjadi faktor beliau diterima sebagai gitaris utama terawal Metallica. Abang Mus menceritakan hal ini dalam buku Mustaine: A Heavy Metal Memoir semasa beliau menghubungi Lars. Berikut nukilan daripada buku tersebut.
That day I called the number in the ad.
“Hey, man, I’m looking for Lars.”
“You got him.” The guy had a strange accent that I couldn’t quite place. He also sounded very young.
“I’m calling about your ad? For a guitar player?”
“Okay…”
“Well, I know Motörhead and Iron Maiden,” I said. “And I love Budgie.”
There was a pause.
“Fuck, man! You know fucking Budgie?!”
That was all it took.
Seperti yang kita semua maklum, Megadeth akan singgah ke Malaysia sempena jelajah album Dystopia (2016). Untuk pengetahuan, Megadeth merakam semula sebuah lagu Budgie era 70an bertajuk Melt the Ice Away sebagai lagu bonus album tersebut.

Megadeth - Melt the Ice Away (Budgie cover)

-------
P/S: Aku kali pertama diperkenalkan dengan Budgie oleh Abang Din, seorang penggemar muzik era 70an. Beliau berikan album Squawk (1972), In for the Kill! (1974) dan Bandolier (1975) untuk aku cuba dengar. Aku tertarik dengan Bandolier memandangkan kulit albumnya sangat cantik dan lagu-lagunya pun lain macam dia punya feel!

Budgie - Napoleon Bona, Part 1 & 2
   

Monday, January 23, 2017

The Door (2009)


Filem drama sci-fi mengenai seorang lelaki yang terjumpa satu pintu atau portal masa dan mendapat peluang kedua untuk menyelamatkan nyawa anaknya yang mati lemas lima tahun lepas. Menarik tentang filem ini pertama kerana menggunakan bahasa Jerman. Aku tak ingat filem Jerman apa yang pernah aku tonton. Jadi, menonton filem ini sedikit sebanyak memberi kelainan. Pelakon utamanya, Mads Mikkelsen (Casino Royale, Valhalla RisingHannibal series) berasal dari Denmark. Biarpun ketika sesi rakaman beliau bertutur bahasa Jerman, suaranya dalam filem ini digantikan dengan pelakon lain memandangkan bahasa Jerman atau Deutsch jelas bukan bahasa ibundanya.

Kedua, bagi sebuah filem drama, plotnya digarap dengan kemas. Bermula dengan membawa penonton menghayati watak Mikkelsen, seorang lelaki yang berlaku curang, menjadi penyebab anak perempuannya mati dan kemudian murung kerana ditinggalkan isteri. Ketika mendapat peluang kedua, timbul pula beberapa konflik yang tidak dijangka disulami dengan unsur saspens, misteri dan psychological thriller sekaligus membuatkan kita mengikuti perjalanan cerita ini. Filem ini bebas daripada paradoks kembara masa atau dalam erti kata yang lain, dunia lima tahun lepas itu lebih kepada parallel world. Secara keseluruhan, The Door atau Die Tür dalam bahasa Jerman merupakan sebuah filem yang lebih daripada biasa (above average) dan berbaloi untuk ditonton.

Die Tür - Trailer

P/S: Bila ditanya muzik kegemarannya, Mikkelsen kata dia layan lagu Pink Floyd, The Doors, Otis Redding dan muzik klasikal. Boleh tengok SINI temubual menarik seorang budak.
  

Saturday, January 7, 2017

Hashshāshīn: Kumpulan Pembunuh Aliran Syiah Ismaili


Hashshāshīn (حَشَّاشِين) merupakan sebuah kumpulan pembunuh bermotifkan politik yang diasaskan oleh Hassan al-Sabbah, seorang penganut Syiah Ismaili atau lebih tepat Nizari Ismaili. Pengasasnya hidup sezaman dengan Imam al-Ghazali. Dalam buku al-Munqiz min al-Dalal (Deliverance from Error), Imam al-Ghazali menyenaraikan empat kelas penuntut iaitu golongan yang menjadi kajian beliau dalam mencari kebenaran. Salah satunya ialah golongan Batiniyyah yang merujuk kepada Syiah Ismaili. Perdana Menteri Kesultanan Seljuk, Nizam al-Mulk pernah mengeluarkan arahan kepada Imam al-Ghazali selaku profesor di Universiti al-Nizamiyyah untuk membongkar kesesatan golongan kebatinan ini. Apa yang kita tahu, Nizam al-Mulk sendiri mati dibunuh (assassinated) oleh mereka!

P/S: Belum tengok filem Assassin's Creed. Game dia pun tak pernah main tapi biasa tengok kawan main kat rumah sewa dulu dan kagum dengan grafik dia yang lawa.
  

Tuesday, December 27, 2016

And the Waltz Goes On

A waltz composed by Sir Anthony Hopkins, one of the greatest living actors. Well known for his portrayal of Hannibal Lecter in The Silence of the Lambs. He composed the waltz in 1964. Performed for the first time in 2011 for such a large crowd by André Rieu and his Johann Strauss Orchestra.


And the Waltz Goes On

P/S: Ada sesapa tengok Westworld? Anthony Hopkins berlakon sebagai pengasas Westworld iaitu sebuah taman hiburan serba canggih bertemakan pekan koboi yang dihuni oleh robot/android. Aku baru tengok separuh musim pertama. Boleh tahan thrill.
  
 Westworld Trailer

Wednesday, December 14, 2016